Universiti Utara Malaysia – UUM – Malaysia

 
Universiti Utara Malaysia (UUM) secara rasmi ditubuhkan pada 16 Februari 1984, merupakan universiti awam Malaysia yang keenam. Universiti tersebut telah ditubuhkan untuk memberi tumpuan dalam bidang Pengurusan. Perancangan pembinaan universiti keenam ini bermula pada bulan Ogos 1983 ketika Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kesungguhan memberikan idea penubuhan universiti tersebut. Pada 19 Oktober 1983, Kabinet memberikan kelulusan rasmi untuk pembangunan projek ini di Kedah. Ketika itu, projek pembangunan ini disebut sebagai "The Sixth University Project". Beberapa bulan kemudian, pejabat sementara universiti keenam, yang diberikan nama rasmi Universiti Utara Malaysia (UUM), telah dibuka secara rasminya pada 15hb Februari 1984 di Jitra.
Kampus UUM, yang juga dirujuk sebagai Kampus Sintok, telah mula beroperasi pada 15hb September 1990 dan dibuka secara rasmi pada 17hb Februari 2004 oleh Canselor Diraja, Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. UUM telah berkembang menjadi kampus terbuka di mana orang luar dan pelancong diberikan kebebasan untuk berkunjung dan menggunakan pelbagai kemudahan dalam kampus. Kawasan seluas 107 hektar hutan telah dibangunkan kepada pelbagai kemudahan untuk menarik pelancong ke wilayah utara dan untuk memenuhi keperluan rekreasi anggota komuniti kampus. Antara kemudahan disediakan adalah kawasan berkelah, padang golf 18 lubang, litar go-kart, lapangan menembak dan memanah, laman ekuestrian dan banyak lagi yang mendapat populariti pantas dalam kalangan pelancong dan ahli komuniti kampus.